fbpx

Perak rehatkan Yee Fatt

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEE FATT direhatkan untuk tempoh dua minggu berkuatkuasa serta merta ekoran prestasi buruk Perak FC.

Oleh AZIZAN HASHIM

SETELAH menilai pandangan banyak pihak dan situasi semasa prestasi pasukan, pihak pengurus Perak FC membuat keputusan untuk merehatkan ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt selama dua minggu bermula perlawanan dengan Penang FC malam esok.

Sepanjang tempoh berkenaan, Perak FC akan dikendali oleh penolong jurulatih, Mohd Shahril Nizam Khalil serta dibantu Shahrulnizam Mustapha.

Tindakan terhadap Yee Fatt diambil berikutan prestasi buruk pasukan The Bos Gaurus yang menyaksikan pasukan itu dibelasah 0-5 masing-masing oleh Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh memberitahu, tindakan itu dibuat dalam usaha menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Perak perlu menang empat daripada enam baki perlawanannya untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super.

Katanya tindakan itu diambil selepas mengambil pandangan semua pihak termasuk pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Mohamad Yadzan Mohamad.

“Ini tindakan sementara sahaja. Ia diambil selepas perbincangan dengan barisan kejurulatihan, pemain dan pegawai pasukan.

“Keputusan muktamad mengenai Yee Fatt akan dibuat selepas dua minggu,” katanya selepas menyaksikan sesi latihan pasukan itu petang tadi.

Azman berkata, usaha juga sedang dibuat untuk memujuk dua pemain import, Leandro Dos Santos dan Careca agar kembali ke pangkuan pasukan.

Bagaimanapun Azman membayangkan usaha itu mungkin tidak berjaya kerana perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI