KLANG – Pengendali bas sekolah di Lembah Klang meliputi Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur kini terpaksa menyara keluarga dengan menjadi penghantar barang dan penjual makanan selepas tiada pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha hampir gulung tikar ekoran penutupan sekolah secara berterusan dalam tempoh PKP.
Katanya, keadaan itu membuatkan pendapatan 250 ahlinya terjejas sekali gus memberikan kesan kepada 750 pemandu bas yang bekerja di bawah mereka.
“Kami terpaksa menyara keluarga dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjual makanan dan menjadi penghantar barang untuk meneruskan kehidupan.
“Beban hutang kena tanggung dan penyelenggaran bas masih perlu dilaksanakan walaupun pendapatan kami sifar susulan penutupan sekolah secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Barang Makanan Barisan Nasional Parlimen Kota Raja di Taman Maznah di sini semalam.
Tambahnya, ramai dalam kalangan pemandu bas merupakan golongan B40 dan pastinya situasi tersebut akan terus menghimpit keperluan kewangan mereka pada setiap bulan.
Menurut Mohd. Haron, pihaknya kini cuba sedaya upaya mengumpul sumbangan untuk ahli dan pemandu yang akan dilaksanakan pada bulan ini, namun tertakluk kepada penerimaan barangan sumbangan.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, pihaknya maklum dengan keadaan itu dan terpanggil untuk membantu golongan tersebut bagi meringankan beban mereka.
“Hari ini (semalam) kita mengagihkan barangan keperluan kepada 45 pemandu bas dan 55 individu kategori B40.
“Diharap bantuan itu dapat mengurangkan beban mereka yang terkesan,” katanya. -K! ONLINE