TOKYO– Pasukan bola tampar wanita Brazil berjaya masih di landasan tepat dalam usaha memburu pingat emas dengan mengekalkan rekod bersih pada saingan Kumpulan A temasya Sukan Olimpik 2020 selepas mengharungi empat perlawanan.
Bagaimanapun, antara yang mencuri perhatian di dalam pasukan tersebut sudah tentu kelincahan serta corak permainan agresif yang ditampilkan oleh pemain yang beraksi di posisi spiker pasukan itu, Rosamaria Montibeller.
Montibeller yang berusia 27 tahun telah dibesarkan di kawasan pedalaman di wilayah Nova Trento, selatan Brazil dan diberikan pendedahan dengan sukan bola tampar seawal sejak umur lapan tahun.
Malah, kecemerlangan yang ditampilkan oleh Montibeller di atas gelanggang pada awal karier membolehkan dirinya dipikat oleh dua kelab profesional Itali, Bartoccini Perugia pada 2019 sebelum berhijrah ke Pomi Casalmaggiore tahun lalu.
Kini, Montibeller hanya mempunyai satu sasaran iaitu membantu skuad Brazil menyumbangkan kilauan pingat pada saingan yang berlangsung di Arena Ariake itu.
“Saya bekerja keras sejak kecil lagi untuk fokus bergelar pemain profesional bola tampar buat Brazil.
“Selepas berjaya meraih tempat dalam skuad kebangsaan dan lebih manis, menjadi salah seorang pemain yang beraksi di temasya Sukan Olimpik di Tokyo sudah tentu memberi motivasi tambahan buat saya.
“Selepas mengharungi empat perlawanan, kami berjaya meraih kemenangan bersih dan melayakkan diri ke pusingan suku akhir,” kata Montibeller. – AGENSI