fbpx

MKN, jangan anak tirikan industri seni kreatif – Erma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERMA harap MKN benarkan penggambaran tanpa perlu setiap pekerja sempurnakan dua suntikan vaksin.

BIMBANG dengan situasi semasa industri seni kreatif yang semakin kritikal, pelakon, pengarah dan penerbit, Erma Fatima memohon pihak kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya tidak menganaktirikan industri seni kreatif sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Erma, pihak berwajib harus memandang serius suara penggiat seni tanah air, sekali gus memohon agar mewujudkan inisiatif untuk menghidupkan semula industri ini yang sememangnya terjejas.

“Saya memohon dan merayu kepada kerajaan dan MKN supaya berlaku adil kepada industri seni kreatif kerana keluarga kami ini tidaklah sebesar mana pun.

“Kita sudah tak ada masa untuk lari atau menyorok. Dalam situasi sekarang, kita kena cari jalan untuk hidup dengan virus ini dengan menjaga semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar drama Lockdown secara virtual baru-baru ini.

Tambah Erma, permintaan tersebut dilakukan memandangkan industri seni tidak pernah mencetuskan sebarang kluster jangkitan baharu sejak pandemik Covid-19 menular dalam negara.

“Sampai bila orang industri seni tidak dibenarkan bekerja? Kita tak pernah cetuskan sebarang kluster atau jangkitan di lokasi penggambaran lagi.

“Paling menyedihkan apabila ada kru dan produksi yang dihalau keluar dari rumah serta terpaksa merempat kerana tidak mempunyai duit.

“Jadi, apa salah dan beza kami berbanding industri lain? Kalau penggambaran pun, maksimum 30 orang saja dibenarkan. Jika tak mahu kami buat filem, berilah peluang untuk produksi lain mulakan penggambaran drama,” katanya.

SOP tak masuk akal

Mengulas mengenai SOP terbaharu yang dikeluarkan oleh MKN untuk industri seni kreatif, Erma berpendapat peraturan yang dicipta sangat tidak masuk akal dan sukar untuk dipenuhi oleh mana-mana produksi.

Tutur kakak kepada pelakon Umie Aida itu, dia juga mahu pihak terlibat mengkaji dan meneliti semula corak bekerja penggiat industri seni kreatif sebelum menggubal sesebuah peraturan dan SOP.

“Jika hendak beri kebenaran, berilah dengan ikhlas. Ini bukan seperti di Hollywood yang ada studio khas untuk penggambaran hendak jarak 100 meter.

“Kajilah terlebih dahulu bagaimana anak seni bekerja, jangan semudahnya membuat peraturan yang nampak tidak masuk akal dengan cara kerja kami.

“Sebelum ini pun, kami sangat mematuhi semua SOP yang ditetapkan dan mengapa syarat yang diberikan kepada anak seni sangat ketat berbanding kepada kilang yang memiliki ribuan pekerja? Inilah ibaratnya kau bagi tetapi sebenarnya kau tak mahu beri pun kebenaran,” luahnya lagi.

Cadangan

Tidak hanya cakap kosong, Erma turut mengusulkan cadangan bagaimana untuk mengelak berlakunya penularan virus Covid-19 dalam kalangan penggiat seni dan masyarakat.

Dia mencadangkan kaedah mengumpulkan artis dan kru yang terlibat dalam mana-mana projek di sebuah lokasi diguna pakai bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 dalam sektor kreatif.

“Ini cadangan. Mungkin boleh mengumpulkan artis dan kru di sebuah tempat seperti pusat kuarantin sehinggalah penggambaran berakhir.

“Sepanjang penggambaran, mereka dilarang pulang ke rumah atau pergi ke tempat lain bagi melindungi dan mencegah penularan wabak Covid-19 dalam kalangan penggiat seni,” katanya lagi.

Tambahnya, untuk menunggu penggiat seni mendapat dua vaksin lengkap adalah sesuatu yang mustahil memandangkan perkara tersebut menyentuh hak asasi manusia.

“Kita tak boleh paksa semua orang terima vaksin dan mereka berhak untuk menolaknya. Jadi, harap pihak berkuasa menilai semula SOP yang ditetapkan kerana secara dasarnya agak menyukarkan kami untuk bekerja,” ujarnya.

Drama rakyat

Bercerita mengenai drama Lockdown, Erma memberitahu karya tersebut diilhamkan selepas melihat keadaan sekeliling sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

“Kita semua sama-sama melalui proses PKP. Jadi kita semua faham kesakitan tersebut selepas mengikuti pelbagai bentuk laporan berita. Itu yang mendorong saya untuk menterjemahkan kisah tersebut dalam bentuk drama.

“Drama ini juga sangat dekat dengan jiwa masyarakat dengan menggambarkan situasi sebenar tentang apa yang benar-benar berlaku dalam realiti kehidupan. Mungkin ada penonton yang dapat ‘melihat’ situasi sendiri dalam cerita ini,” ujarnya.

Selain Erma, Lockdown juga turut mendapat sentuhan Mohd Fazli Yahya selaku pengarah.

Lockdown dibintangi oleh 23 barisan pelakon handalan antaranya Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan, Liza Abdullah, Balkisyh Semundur Khan dan ramai lagi.

Drama Lockdown bersiaran dari Isnin hingga Khamis pada pukul 11 malam bermula 26 Julai lalu menerusi saluran Astro Ria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI