IZMIR, TURKI – Beberapa klip video memaparkan sebuah objek dipercayai meteor berwarna hijau jatuh di bandar Izmir, Turki tular di internet dan mencetuskan spekulasi mengenai satelit terhempas atau objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar The Sun hari ini.
Objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit Izmir sebelum mengeluarkan kilauan cahaya hijau yang terang sebelum hilang di celah-celah bangunan.
Kejadian sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) itu dikongsi pengguna media sosial yang membawa kepada pelbagai spekulasi bahawa objek tersebut berkemungkinan adalah sampah angkasa lepas, serpihan satelit atau UFO.
Menurut saksi, kedengaran bunyi letupan kuat ketika objek tersebut terhempas ke Bumi yang berkemungkinan disebabkan rosak atau pelanggaran dengan atmosfera.
“UFO telah dilihat di langit. #PrayforTurkey,” tulis seorang netizen di sosial media.
Spekulasi itu bagaimanapun ditepis seorang profesor astrofizik, Dr. Hasan Ali Dal, yang menjelaskan bahawa insiden tersebut dikenali sebagai ‘bebola api’ dan berlaku apabila meteor mula terbakar dalam udara.
“Kebiasaannya, ia terbakar di bahagian atas atmosfera.
“Ia boleh dianggap sebagai fenomena yang lebih dikenali ramai sebagai tahi bintang dan kebiasaannya berlaku ketika tempoh masa hujan meteorit,” jelasnya.
Ketika ini, Bumi sedang mengalami kejadian hujan meteor Perseid yang kebiasannya berlaku sepanjang bulan Julai dan Ogos setiap tahun. – AGENSI