fbpx

Maybank Singapore saman Mohamad Salleh, dua anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank Singapore Ltd. memfailkan saman terhadap suami dan anak bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kerana dikatakan gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah hampir RM8 juta.

Saman itu menamakan Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah Zabedah sebagai defendan-defendan.

Memetik laporan FMT, writ saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Julai lalu.

Laporan itu menyebut, pernyataan tuntutan dilihat portal itu mendakwa Maybank Singapore memohon penghakiman mahkamah bagi hutang berjumlah S$2.53 juta (RM7.9 juta).

Plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan telah gagal, tidak mempedulikan dan/atau cuai membayar jumlah dituntut, yang mengakibatkan bank itu mencari penyelesaian menerusi mahkamah di Malaysia.

Dalam laporannya, FMT turut menyatakan bagi pinjaman perumahan pertama, Maybank Singapore memberi pinjaman S$4.37 juta pada 2009 kepada defendan-defendan untuk pembelian apartmen di Orchard Scotts.

Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan gagal membuat bayaran bulanan S$7,225, dengan jumlah yang perlu dibayar setakat 22 Jun 2018 adalah sebanyak S$3.94 juta termasuk faedah.

Selepas defendan gagal membayar jumlah dituntut itu, Maybank Singapore menggunakan haknya untuk merampas seterusnya menjual hartanah itu menerusi bidaan dengan harga S$3.2 juta.

Bagaimanapun, nilai jualan itu tidak cukup untuk melunaskan jumlah penuh yang masih terhutang, yang setakat 29 Disember tahun lalu adalah sebanyak S$1.37 juta.

Bagi pinjaman perumahan kedua pula, Maybank Singapore memberi pinjaman S$5.38 juta pada 2010 kepada Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran untuk pembelian satu kondominium di Marina Bay.

Mereka didakwa gagal membuat bayaran bulan berjumlah S$8,700, dengan jumlah keseluruhan tunggakan setakat 4 Jun 2018 adalah sebanyak S$5.06 juta.

Maybank Singapore kemudian menggunakan haknya untuk merampas dan menjual hartanah itu dengan harga S$4.68 juta dengan baki hutang sebanyak S$1.17 juta. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI