PASIR PUTEH – Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala di hadapan sebuah rumah di Kampung Chengal Batu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superitendan Mohd. Azmir Damiri berkata, mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dijumpai dalam keadaan terlentang di rumah seorang penduduk di kawasan itu kira-kira pukul 9.30 malam.
Menurutnya, polis menerima laporan berkaitan penemuan mayat itu oleh pemilik rumah berkenaan dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Sepasukan anggota polis mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan terlentang dan sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal terhadap mayat itu mendapati ada kecederaan pada kepalanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Azmir, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun kertas siasatan akan dibuka sekiranya terdapat unsur jenayah selepas menerima laporan bedah siasat. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929