PETALING JAYA – Luluh hati orang ramai apabila menonton sebuah klip video yang memaparkan kisah sedih seorang kanak-kanak lelaki yang hanya mampu melihat jenazah bapanya dibawa ke tanah perkuburan dari jauh.
Lebih menyayat hati, menerusi klip video yang dikongsi di laman Facebook Kepala Berputar itu adalah laungan kanak-kanak tersebut yang beberapa kali memanggil ‘ayah’ sewaktu petugas kesihatan sedang membawa jenazah itu ke liang lahad.
Difahamkan bapa kepada kanak-kanak berusia lapan tahun itu meninggal dunia akibat Covid-19 dan semua ahli keluarga tidak dibenarkan mengiringi jenazah hingga ke kawasan tanah perkuburan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar klip video berdurasi 41 saat itu dirakam.
Susulan klip video itu, rata-rata orang ramai telah meninggalkan beberapa reaksi pada ruangan komen supaya kanak-kanak itu tabah dengan kehilangan bapa tercinta.
“Semoga semua yang kehilangan orang tersayang kuat melalui detik paling sedih dalam kehidupan.
“Dalam kesedihan, ada kebahagiaan akan datang suatu masa nanti,”tulis Marry Go Round.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Khairul Anwar.
“Harap bila besar adik akan jadi anak yang soleh, doa anak yang soleh dapat membantu ayah adik ke alam barzakh, moga adik dirahmati Allah, amin,”katanya.-K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929