PETALING JAYA – “Kami sedia beri kerjasama, kalaulah nilai RM1 juta itu adalah bayaran sebuah persahabatan.”
Itu antara luahan isteri kepada penyanyi Lan Solo, Nur Sheila Hassim berhubung amaun pembayaran bernilai RM200,000 setiap seorang yang dituntut pihak Siti Nordiana terhadapnya bersama empat lagi individu termasuklah Lan dan penyanyi Syura Badron baru-baru ini.
Menurut Nur Sheila, pihaknya termasuk empat lagi individu iaitu Lan, Syura, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin tidak diberi peluang dan ruang perbincangan bersama Siti Nordiana.
Malah, dia juga seolah-olah terkilan apabila luahan bersama tiga rakan yang lain termasuk suami telah dimanipulasi sehingga terpaksa berdepan kecaman hebat daripada netizen.
“Lama juga saya berdiam, saya biarkan segala kecaman terhadap kami sehingga episod kematian bapa mertua menjadi bahan ejekan. Saya sudah jangka luahan kami dimanipulasi.
“Kalau bukan kerana adanya provokasi yang dimulakan, pasti semua ini takkan terjadi. Saya manusia biasa dan punya perasaan bila asyik diasak soalan-soalan provokasi yang saya kadang-kadang tak mampu nak kawal,” katanya dalam entri tersebut.
Mengulas lanjut, Sheila mendedahkan pihaknya juga tidak diberi peluang untuk melakukan sebarang perbincangan dengan pihak Siti Nordiana sejak setahun lalu.
“Setahun lebih kami mencari dan minta penjelasan kenapa kami diperlakukan begini. Senyap, sunyi dan sepi. WhatsApp dan mesej juga diblok.
“Saya sedia beri kerjasama jika apa yang saya mulakan akan berakhir dengan kecaman tetapi tidak adil untuk kami,” ujarnya.
Dalam hantaran lain, Sheila tutrut mempersoalkan tindakan penyanyi Angkara itu hanya menyatakan menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh masa 24 jam kepada media tetapi tidak menjelaskan tentang jumlah wang RM200,000 yang perlu dibayar mereka.
“Perkara yang dihebohkan kepada media hanya permohonan maaf tetapi tidak menyatakan jumlah tuntutan RM200,000. Kami sedia beri kerjasama. Kalaulah nilai RM1 juta itu adalah bayaran sebuah persahabatan,” katanya.
Ujarnya lagi, dia juga mempunyai hak dan ruang untuk meminta penjelasan ke atas semua perkara yang berlaku ketika ini.
“Sebagaimana dia ada hak menggunakan khidmat peguam, kami juga memilikinya. Jika dahulu boleh berhubung dengan panggilan video kenapa sekarang tidak?
“Dalam siaran langsung tempoh hari juga berulang kali saya ajak berjumpa dan dia tahu di mana untuk cari kami.
“Percayalah, sehingga cerita ini ditulis, kecaman masih akan tetap berpihak kepada kami malah, akan terus dimanipulasi.
“Dengan rendah hati, saya dan suami memaafkan semua kutukan dan kritikan yang dilemparkan terhadap kami.
“Cuma lebih baik mendoakan segalanya akan berakhir daripada terus berlakon seperti mangsa keadaan dan mencari jalan penyelesaian. Anda semua tidak merasa peritnya menjadi kami,” katanya lagi.
Terdahulu, kontroversi enam sahabat ini menjadi perhatian ramai apabila nama Siti Nordiana disebut-sebut dalam IG Live melibatkan penyanyi Lan, Sheila, Syura, Aida dan Sam pada 20 Julai lalu.
Siti Nordiana kemudian melantik firma guaman dari Tetuan Abang Azlan & Associates yang diwakili peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin.
Penyanyi dan pelakon tersebut meneruskan tindakan saman terhadap kelima-lima individu itu selepas tiada permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam seperti yang dituntut.
Difahamkan, tuntutan saman akan difailkan kepada mereka selewat-lewatnya 2 Ogos ini. – K! ONLINE