SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) menyifatkan sebarang tuduhan serius terhadap pihaknya dalam pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini adalah bersifat prejudis dan tidak tepat.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah menetapkan sebarang bayaran dikenakan kepada pihak keluarga atau waris atas setiap pengurusan jenazah Covid-19 yang diuruskan JAIS.
Katanya, sebaliknya bayaran hanya dikenakan pihak pengurusan tanah perkuburan (termasuk kos membuat keranda jika perlu) yang akan terus dibayar oleh keluarga atau waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan terbabit.
“Beberapa siri serangan terhadap JAIS di media sosial dalam hal pengurusan jenazah Covid-19 adalah suatu telahan yang menyimpang, tidak tepat, bersifat prejudis dan boleh menimbulkan perspektif buruk kepada dasar dan ketetapan baru JAIS berhubung pengurusan jenazah Covid-19 yang telah dikuatkuasakan di seluruh Selangor pada 28 Julai lalu.
“Pengendalian pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor telah disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan pasukan barisan hadapan hospital terutamanya di bahagian forensik bagi mengelakkan berlaku semula backlog jenazah kes kematian orang Islam akibat Virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa tuduhan dan isu yang dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.
Beliau memberitahu, ketetapan dibuat bersama pihak hospital dan pihak-pihak lain yang berkaitan.
Tambahnya, menjadi tanggungjawab JAIS memastikan urusan hal ehwal umat Islam di Selangor diurus sebaiknya termasuk dalam hal melibatkan kematian orang Islam dan jenazah Covid-19.
“JAIS juga hanya akan menguruskan jenazah Covid-19 yang telah dilepaskan oleh pihak hospital. Perkara seperti memaklumkan tentang kematian pesakit Covid-19 dan kehadiran pihak waris ke hospital adalah di bawah urusan pihak hospital.
“Selain itu, jAIS telah menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIS mengesyorkan sekiranya pihak keluarga atau waris jenazah Covid-19 atau mana-mana NGO atau individu mempunyai fakta dan bukti terhadap perlanggaran atau perbuatan bersifat jenayah supaya membuat aduan terus kepada pihaknya atau pihak berwajib.
“Selain daripada Pasukan Petugas JAIS (Pengurusan Jenazah Covid-19), kita juga mempelawa para sukarelawan dan mana-mana NGO yang ingin turut bekerjasama dalam membantu menguruskan jenazah Covid-19 dan hendaklah tertakluk untuk patuh kepada ketetapan yang dibuat oleh JAIS,” katanya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929