fbpx

Hilang kerja, tempat tinggal akibat PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah keluarga berjalan di tengah panas terik selepas diminta keluar dari rumah sewa.

PETALING JAYA – Tiada pekerjaan dan hilang tempat tinggal disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itulah dugaan yang terpaksa ditempuh sebuah keluarga dalam keadaan yang mencabar di musim pandemik Covid-19.

Menerusi satu kemas kini di laman Facebook, seorang pengguna bernama Abu Dzar Omar memaklumkan ternampak satu pasangan suami isteri berjalan kaki melintas jambatan di bawah terik sambil membawa dua anak kecil.

“Tadi semasa tengah memandu, ternampak satu keluarga berjalan tengah panas dekat jambatan jadi saya pusing balik dan panggil mereka lalu bertanyakan hendak ke mana.

“Si suami beritahu mereka dalam perjalanan ke Sungai Udang, Klang dari Meru, Klang untuk menumpang makan di rumah emak sebelum pergi mencari rumah sewa,” katanya.

Jelasnya, keluarga tersebut pada mulanya menolak tawaran untuk mendapatkan perkhidmatan e-hailing kerana tidak mahu menyusahkan.

Ketika berbual, si suami mula menceritakan tentang dugaan yang dihadapi mereka.

“Saya minta anak-anak serta isterinya duduk dalam kereta sementara kami berbual di luar. Si suami memaklumkan mereka telah diarahkan keluar dari rumah sewa dan dia yang bekerja kontrak kini tiada pendapatan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“Saya minta dia bersabar dan sempat menghulurkan sedikit duit belanja selain nasihat agar bekerja dengan baik, rajin dan menjaga solat. Semoga dapat teruskan hidup dan buat modal untuk berniaga,” ujarnya.

Tambah Abu Dzar Omar, sekiranya kita sedang memandu kereta, tolehlah ke kiri dan kanan untuk melihat sekiranya ada hamba Allah SWT yang sedang kesusahan dan mendoakan agar wabak Covid-19 segera berakhir.

Perkongsian itu mendapat lebih daripada 754 komen dan 2,600 perkongsian daripada pengguna Facebook yang rata-rata menyifatkan kejadian itu amat menyentuh hati dan menginsafkan.

“Alhamdulillah, terima kasih Ustaz. Terima kasih kerana membuka mata saya ni. Insya-Allah saya juga akan lebih prihatin selepas ni,” kata Ezarina Yaakub.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI