COLUSA, CALIFORNIA – Empat orang dilaporkan maut dalam satu nahas helikopter terhempas di sebuah kawasan pedalaman di bahagian utara California, Amerika Syarikat, lapor akhbar Daily Star hari ini.
Menurut seorang pegawai, helikopter jenis Robinson R66 itu terhempas kira-kira pukul 1.15 petang (waktu tempatan).
Empat penumpang yang identitinya masih belum dikenalpasti ditemui berada dalam helikopter tersebut dan disahkan mati di tempat kejadian.
“Sebuah helikopter jenis Robinson R66 terhempas sekitar pukul 1.15 petang (waktu tempatan) hari ini di sebuah kawasan pedalaman di Colusa, California.
“Laporan awal mendapati empat orang berada di dalamnya,” kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Tambah FAA, pihaknya akan memberitahu nombor helikopter tersebut sebaik anggota penyiasat mengesahkannya di lokasi kejadian.
“FAA dan Badan Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat insiden ini,” jelasnya. – AGENSI