fbpx

Bantu biar ada adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini media sosial kecoh dengan isu seorang pesohor media sosial yang dikatakan menjatuhkan air muka seorang warga emas di sebuah Pusat Transit Gelandangan di ibu kota.

Semasa menonton video itu, pelbagai perasaan timbul antara rasa sedih dan marah kerana tidak sampai hati melihat warga emas itu dilakukan sedemikian di depan orang ramai.

Bagaimanapun, saya akui ini bukan kali pertama melihat ge­landangan dilayan begitu. Sa­tu ketika dahulu saya pernah mengikuti kumpulan sukarelawan memberikan makanan kepada gelandangan, dan didapa­ti memang ada yang bercakap dengan gelandangan seolah-olah ‘darjat’ mereka begitu rendah sekali, dengan alasan mahu beri motivasi.

Tetapi bagi saya, mendekati golongan gelandangan ini sebenarnya bukan satu perkara yang boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Hal ini kerana, mereka ini majori­tinya menderita akibat pengasi­ngan, keyakinan diri yang rendah dan kurang struktur atau arahan dalam kehidupan mereka.

Novelis Ukraine, Andriy Kur­kov dalam wawancaranya juga pernah menyebut sukar untuk gelandangan membentuk keyakinan diri walaupun mereka telah dibantu, sudah diberikan tempat tinggal atau diberi pekerjaan, mereka ini sentiasa menerima atau berasa diri mereka tidak dihormati oleh orang lain.

Ianya sesuatu yang amat berat atau mencabar bagi mereka untuk kembali kepada kehidupan normal. Pokok pangkalnya, sikap masyarakat terhadap golongan ini sebenarnya perlu dititik beratkan, tidak kira melalui apa cara sekalipun, orang awam atau sukarelawan perlu tahu mengenai hak serta harga diri golongan ini.

“Meskipun banyak usaha di­wujudkan kumpulan sukarela­wan atau pelbagai bantuan di­lancarkan untuk membantu gelandangan, kebanyakan mereka tidak melalui kursus atau mempelajari secara khusus bagaimana caranya hendak berkomuni­kasi dengan go­longan tersebut.

“Sukarelawan mahupun orang awam yang mahu membantu haruslah bersikap prihatin terhadap mereka yang mengalami sebarang masalah atau menyelami realiti kehidupan yang dilaluinya apabila berkomunikasi,” katanya.

Beliau berkata, ia kerana pendekatan tersebut dapat mengurangkan jurang sosial dan menyebabkan mereka lebih mudah untuk menerima pendapat dan nasihat daripada orang lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kesedaran Psikiatri, Dr. Hazli Zakaria berkata, sesiapa sahaja yang mahu mendekati golongan terdedah ini, sepatutnya perlu mempelajari kemahiran yang betul dalam mengendali golongan tersebut.

“Bukan semua orang boleh sewenang-wenangnya mendekati golongan vulnerable ini. Ba­gai­manapun, kepentingan mendapatkan kemahiran untuk berkomunikasi dengan baik sebelum mendekati mereka sering tidak dipandang serius hingga menye­babkan kesan yang negatif.

“Apabila kita gagal melayan mereka dengan berhemah, ia boleh memberi trauma kepada individu tersebut. Apabila dimalukan, walaupun mereka kata itu untuk memberi nasihat atau motivasi, perkara yang salah tetap salah,” katanya.

Mengulas lanjut Hazli berkata, kemahiran mendekati golongan itu harus diwajibkan sebagai satu standard yang perlu ada dalam setiap sukarelawan kerana ia adalah satu tanggungjawab memastikan golongan ini dilindungi.

“Di sebalik apa yang berlaku baru-baru ini, ada hikmahnya di mana ramai orang sedar betapa pentingnya untuk mendekati golongan seperti gelandangan, pesakit mental dan sebagainya ini dengan cara yang berhemah.

“Persatuan Kesedaran Psikatri juga sentiasa bersedia me­ngendalikan kursus begini,” jelasnya.

Pada pemerhatian saya, da­lam keadaan dunia sekarang ini, orang susah semakin ramai dan yang mahu membantu juga ramai. Tetapi beringatlah, ha­nya kerana mereka susah tidak bermakna kita ini lebih bagus daripada mereka. Mereka juga manusia, ada air muka, hati dan perasaan yang perlu dijaga. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI