fbpx

Maklumat suami hilang bongkar kejadian bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai empat lelaki dan seorang wanita yang dikurung di sebuah apartmen di Jalan Kuching di sini pada Jumaat lalu berjaya diselamatkan.

Difahamkan, mereka yang diselamatkan merupakan mangsa keldai akaun yang didalangi tujuh lelaki.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.15 petang, Jumaat lalu daripada seorang wanita.

“Wanita itu memberitahu gagal menghubungi suaminya yang keluar rumah pada Khamis lalu atas urusan kerja di sebuah apartmen di Jalan Kuching.

“Bertindak atas maklumat, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi membuat pemeriksaan di apartmen terbabit dan menyelamatkan empat lelaki dan seorang wanita tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, isteri mangsa juga telah menyampaikan maklumat seorang rakan suaminya membawa suaminya ke sebuah hotel di Jalan Bukit Ceylon pada Khamis lalu.

“Susulan itu, pada Sabtu lalu, polis pergi ke sebuah bilik di hotel berkenaan dan menemui seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.

“Punca kematiannya disebabkan kecederaan akibat objek tumpul di muka dan kepala sehingga menyebabkan pendarahan di bawah selaput otak” jelasnya.

Pemerhatian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengesan lima lelaki yang bersama-sama mangsa di dalam bilik tersebut.

“Kita menahan tujuh lelaki tempatan berusia 18 hingga 26 tahun dalam dua serbuan di Jalan Kuching pada Sabtu lalu dan di Bangsar South semalam.

“Polis merampas wang RM24,901 serta beberapa barangan seperti sepucuk pistol angin, telefon bimbit (31) dan kad bank(34),” jelasnya.

Kesemua tangkapan direman hingga selasa depan. Kes siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI