PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kemalangan selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Sungai Buloh menghala ke Kepong di sini pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 6 petang.
“Mangsa merupakan warga tempatan berusia 76 tahun dipercayai terbabas dan terjatuh di jalan raya.
“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan dimasukkan ke zon merah bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pada Selasa lalu kira-kira pukul 7.42 malam, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital tersebut.
“Polis memohon saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil di balai polis berhampiran.
“Saksi juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929