SHAH ALAM – Pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor didakwa semakin rumit apabila seorang waris terpaksa menunggu selama lima hari bagi mengebumikan jenazah ayahnya.
Perkara itu terbongkar menerusi video berdurasi lima minit 38 saat di laman Facebook Mr Wan Chai Official apabila waris tersebut dikenali Khairunisa disantuni Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Berdasarkan video tersebut, Khairunisa mendakwa, arwah ayahnya meninggal dunia akibat Covid-19 pada pukul 12.40 pagi di HTAR namun hanya dihubungi bagi menuntut jenazah tersebut hari ini.
“Pihak hospital ada menghubungi bagi memaklumkan kematian arwah ayah dan saya ada surat pengebumian pada hari Khamis namun (saya) meminta dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Naga (Seksyen 32, Shah Alam).
“Bagaimanapun pihak hospital meminta tunggu dan hanya menerima panggilan daripada pihak hospital pada hari ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Khairunisa memberitahu telah menunggu di pekarangan jabatan forensik hospital tersebut sebelum 3 petang tadi namun belum mendapat sebarang tindakan sewajarnya.
“Kalau memang terlalu banyak jenazah, kami faham dan perlu bayar lebih, kami tidak kisah namun jangan buat begini.
“Saya ada dua beradik dengan kakak tinggal jauh dan tidak boleh tengok serta menghubungi saya. Ini membuatkan saya buntu dan serabut dan perit menunggu jenazah arwah. Apapun masalah pengurusan jenazah, maklumkan kepada kami dan jangan sampai tunggu lima hari,” katanya.
Sementara itu, Azmizam yang juga penaung Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) mempertikaikan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang sebelum ini komited dalam pengurusan jenazah.
“Sepatutnya dapat tarikh pengebumian dalam tempoh 24 jam selepas kematian dan pihak JAIS menyediakan van yang banyak sejak 16 Julai lalu.
“Mana van JAIS? Apa cerita sebenarnya Datuk Pengarah JAIS. Sebelum ini pihak kami dibenarkan urus jenazah namun semalam, pihak JAIS sudah mengeluarkan arahan agar semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan menguruskan jenazah lagi,” katanya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929