KLANG – Penutupan sekolah berterusan dalam pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) menyebabkan ramai pengusaha bas hampir gulung tikar.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik, ini meliputi 250 ahlinya yang terjejas pendapatan seterusnya memberikan kesan kepada 750 pemandu bas.
Katanya, mereka terpaksa menyara hidup dengan melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja menjual makanan dan menjadi penghantar barang.
“Beban hutang dan penyelenggaran bas masih perlu dilaksanakan walaupun pendapatan kami sifar susulan penutupan sekolah ini.
“Ramai pemandu bas juga dari golongan B40 dan pastinya situasi ini akan menghimpit keperluan kewangan mereka setiap bulan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Barang Makanan Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja di Taman Maznah hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, program itu melibatkan 45 pemandu bas dan 55 individu B40.
“Bantuan barang makanan tersebut diharap mengurangkan beban pengusaha bas sekolah yang terkesan sejak tahun lalu,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929