KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) masih melakukan kajian terhadap penggunaan Ivermectin sebagai ubat merawat pesakit Covid-19.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun dalam kajian KKM, tetapi dua buah negara iaitu India dan Peru telah menarik balik kebenaran penggunaannya.
“Bila kerajaan kata masih dalam kajian ada orang nak beli juga (ubat Ivermectin secara dalam talian) sebab percaya kepada cerita yang mengatakan ubat itu bagus dan tiada kesan sampingan.
“Bagaimanapun, biar KKM yang berikan saranan mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pemberian vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil serta Axiata Arena Bukit Jalil dekat sini semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu memaklumkan seramai 200 pesakit Covid-19 telah menyertai kajian itu.
Jelas beliau, kajian itu dikenali sebagai Ivermectin Treatment Efficacy on Covid-19 High Risk Patient dan telah dijalankan di 18 buat hospital kerajaan.
Menurut beliau, keputusan kajian ubat Ivermectin untuk digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 akan diketahui pada September ini.
Semalam Kosmo! melaporkan ubat antiparasit iaitu Ivermectin itu kini dijual secara meluas di internet dan menjadi buruan pesakit Covid-19 yang dikatakan penawar segera kepada penyakit berkenaan.
Ubat yang digunakan kepada haiwan itu hanya boleh diperoleh dengan perskripsi doktor pakar veterinar turut dijual pada harga tidak masuk akal iaitu mencecah RM599 untuk 100 biji secara dalam talian.