ATLET Venezuela, Yulimar Rojas berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi pingat emas acara lompat kijang wanita dengan catatan rekod dunia baharu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Rojas melakukan lompatan sejauh 15.67 meter (m) pada final di Stadium Olimpik sebentar tadi sekali gus memecahkan rekod dunia 15.50m yang dilakukan atlet Ukraine, Inessa Kravets di Gothenburg, Sweden pada 1995.
Lebih manis, ia adalah pingat emas pertama buat dirinya dan juga Venezuela di pentas Olimpik selepas memenangi tempat kedua sewaktu edisi Rio 2016.
Pingat perak lompat kijang wanita sebentar tadi pula dimenangi Patricia Mamona dari Portugal dengan catatan 15.01m.
Tempat ketiga menjadi milik atlet Sepanyol, Ana Peleteiro yang melakukan lompatan sejauh 14.87m sewaktu percubaan kelima. – K! ONLINE