KLANG – Modus operandi dua penjenayah menumpang kenderaan bagi menyamun terbongkar apabila ditahan dalam dua serbuan di Bandar Bukit Tinggi, baru-baru ini.
Suspek berusia 24 dan 25 tahun itu diberkas dalam masa dua hari bermula Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 pagi, Selasa lalu selepas mangsa iaitu pemandu lori menumpangkan kedua-dua suspek menaiki keretanya jenis Perodua Myvi di Bandar Bukit Tinggi.
Mangsa yang berusia 32 tahun didekati suspek yang meminta belas ihsan menumpangkan hingga Bayu Perdana.
Jarak dua lokasi adalah hampir dua kilometer.
“Bagaimanapun, ketika di dalam kenderaan, seorang suspek mengeluarkan pisau dan menetak stereng kereta sebelum mengambil alih pemanduan.
“Suspek juga meminta mangsa mengeluarkan barang berharga sebelum ditinggalkan di tepi jalan Meru, dekat sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kata Shamsul Amar, mangsa kemudiannya telah mendapatkan bantuan daripada seorang lelaki untuk menghantarnya kembali ke Bukit Tinggi.
Kenderaannya pula ditemui di belakang sebuah bank di situ.
Mangsa kemudiannya pulang ke rumah untuk mengambil kunci pendua, namun sekembali ke lokasi tersebut kenderaannya didapati hilang.
“Bertindak hasil maklumat, kita menahan kedua-dua suspek dan merampas serangkai kunci kereta serta telefon bimbit,” katanya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929