Biarpun baru berusia 20 tahun dan mula berjinak-jinak dengan dunia peragaan, Nur Fatihah Atiqah Samsuddin berasa terpanggil untuk membantu golongan terjejas susulan penularan wabak Covid-19.
Dia yang dikenali Fath dalam kalangan kenalannya menggunakan pengalaman selama dua tahun membuat ulasan produk jualan peniaga kecil bagi meningkatkan pendapatan mereka sepanjang pandemik.
Tiada bayaran dikenakan tetapi bagi anak jati kelahiran negeri jelapang padi itu, semangat setiakawan membantu meringankan beban peniaga kecil mengharungi saat-saat sukar ekoran pandemik lebih penting.
Di sebalik tugasan sebagai penuntut semester empat, Diploma Analisis Pelaburan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fath juga sering kali diundang bagi menghiburkan tetamu dalam beberapa acara besar universiti.
Kosmo! Ahad: Ceritakan bagaimana bermula membuat ulasan produk?
Fath: Sejak awal tahun 2019. Rezeki itu datang apabila saya menawarkan khidmat tersebut di media sosial. Kebolehan ini saya gunakan untuk membantu mereka yang terjejas, moga ada pendapatan buat mereka.
Mengapa hanya peniaga kecil?
Peniaga kecil antara golongan yang terjejas sejak tahun lalu. Jadi, mereka merupakan kelompok yang perlu dibantu sehinggalah dapat kembali berdiri di atas kaki sendiri.
Tak rasa rugi ke buat ulasan percuma?
Tidak, mereka mendoakan saya murah rezeki, itu sudah cukup membuatkan saya rasa terharu.
Berapa ramai yang dibantu dan sampai bila mahu bantu mereka?
Sekitar 20 peniaga kecil antaranya yang berniaga tudung, makanan, barang hiasan dan beg tangan. Syukur apabila diberitahu jualan mereka naik dengan mendadak selepas reviu.
Apa kriteria diperlukan bagi seseorang itu membuat ulasan produk?
Mereka perlu mempunyai pengikut yang ramai dan aktif di media sosial. Paling penting amanah, kerana terdapat banyak instafamous yang telah mengambil duit tetapi tidak melakukan hantaran. Ia sangat memalukan.
Apa beza antara ulasan produk dengan Key Opinion Leader (KOL)?
Harga bagi ulasan produk biasanya ditentukan anda sendiri, manakala bayaran bagi perkhidmatan KOL ditetapkan pihak lain selain perlu mematuhi perjanjian termasuk melakukan hantaran secara berkala.
Boleh kongsi aktiviti nyanyian anda di UiTM?
Saya sering diundang untuk majlis-majlis besar termasuk melibatkan orang kenamaan antaranya majlis makan malam. Saya menyanyi kerana minat dan sokongan daripada kawan-kawan. Suara saya sesuai dengan lagu genre pop antaranya Stay nyanyian Rihanna.
Pengalaman indah ketika membuat persembahan?
Mendapat sokongan dan tepukan tetamu. Teruja apabila mereka turut sama menyanyi. Detik itu membuatkan gementar saya hilang, sungguh ia pembakar semangat dan pengalaman manis buat diri ini.
Selain belajar dan buat ulasan produk, Fath berniaga?
Fath menjual skirt bundle secara live di Shopee dengan harga yang sangat murah iaitu RM10, tidak kisah berjenama atau tidak. Neqechie.wardrobe merupakan nama perniagaan saya.
Covid-19 menyebabkan ramai kehilangan tempat bergantung, pandangan Fath?
Golongan ini perlu bantuan berkala agar kebajikan mereka terjaga. Ini kerana, kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang susah.
Selain wang, anak-anak kehilangan ibu bapa perlu ditempatkan dengan keluarga terdekat agar emosi mereka terjaga.