PASIR MAS – Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merogol adik iparnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) mental pada 2018 dan Julai lalu.
Tertuduh yang berusia 54 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang gadis bawah umur yang berusia 15 tahun ketika itu dengan mengetahui tentang kecacatan mental mangsa ketika merogolnya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Tanah Merah dekat sini kira-kira pukul 6.30 petang pada hujung bulan Oktober 2018.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa merogol gadis sama yang ketika ini berusia 18 tahun dengan mengetahui tentang kecacatan mental mangsa ketika merogolnya.
Kesalahan itu dilakukan di dalam kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Tanah Merah pada 1, 2 dan 7 Julai 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(k) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan bagi keempat-empat pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh 15 Ogos ini untuk hukuman.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929