GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Surplus Pulau Pinang mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan saman ke atas kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan berpakaian hitam berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.
Pengerusinya, Sophian Mohd. Zain berkata, ini kerana kesemua individu terbabit didapati jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Menurutnya, biarpun perhimpunan tersebut disifatkan berlangsung secara aman namun penganjurannya tetap melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika kes jangkitan hariannya masih mencecah lebih 15,000 kes.
“Kami mendesak agar kesemua peserta perhimpunan berpakaian hitam itu dikenakan tindakan saman atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP Covid-19 iaitu berhimpunan secara beramai-ramai dan tiada penjarakan fizikal.
“Mereka sudah terbukti melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa ketika negara terutama Kuala Lumpur dan Selangor masih bergelut dengan kes penularan jangkitan pandemik Covid-19.
“Ambil tindakan segera ke atas mereka seperti mana yang dikenakan terhadap individu yang menunaikan solat secara beramai-ramai baru-baru ini,” tegasnya di sini.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929