KANGAR – Perlis menetapkan hanya seramai 12 orang terdiri daripada pegawai bertugas iaitu imam, bilal dan siak serta jawatan kuasa kariah yang dibenarkan untuk melaksanakan solat jemaah di ruang terbuka di enam buah masjid di Kuala Perlis bermula hari ini.
Enam masjid terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad masjid-masjid tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara termasuk Perlis.
Titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), keputusan itu juga dibuat rentetan peningkatan bilangan jangkitan yang tinggi di Mukim Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya.
“Pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad masjid-masjid di Kuala Perlis adalah berkuat kuasa waktu zohor hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, sebagai langkah kawalan, hanya pegawai bertugas seperti imam, bilal dan siak serta jawatan kuasa kariah masjid dengan tidak melebihi 12 orang pada satu masa dibenarkan hadir untuk melaksanakan solat jemaah sama ada solat fardu atau solat Jumaat.
“Mereka juga hendaklah berusia di bawah 59 tahun, walau bagaimanapun bagi yang berusia 60 tahun ke atas dibenarkan hadir dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, golongan itu juga dilarang hadir sekiranya mereka terlibat aktiviti rentas negeri walaupun telah lengkap dua dos vaksin dengan larangan adalah dalam tempoh dua minggu daripada tarikh merentas sempadan.
“Mereka juga dilarang hadir sekiranya ada ahli keluarga yang tinggal bersama melakukan aktiviti rentas sempadan, melainkan ahli keluarga yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Golongan yang berstatus pesakit bawah siasatan (PUI), pesakit dalam pemantauan (PUS) dan mereka yang berisiko untuk dijangkiti juga adalah dilarang,” titah baginda. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929