SAINGAN olahraga Sukan Olimpik Tokyo 2020 mencipta keunikan tersendiri apabila menyaksikan atlet Qatar, Mutaz Essa Barshim dan Gianmarco Tamberi dari Itali berkongsi pingat emas dalam acara lompat tinggi.
Ia berlaku selepas Barshim, 30, dan Tamberi, 29, gagal dalam tiga percubaan untuk melepasi had ketinggian terakhir, 2.39 meter (m) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik sebentar tadi.
Kegagalan itu menyaksikan kedua-dua mereka berkongsi kedudukan teratas selepas masing-masing berjaya melepasi had ketinggian pada percubaan pertama bermula 2.19m, 2.24m, 2.27m, 2.30m, 2.33m, 2.35m dan 2.37m.
Menariknya, pemenang pingat gangsa, Maksim Nedasekau dari Belarus juga berjaya melepasi had ketinggian 2.37m.
Namun, Nedasekau terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas terpaksa melakukan lompatan kedua untuk melepasi had ketinggian pertama, 2.19m. – K! ONLINE