SUNGAI PETANI – Seorang penduduk di Taman Cengal Jaya di sini, terkejut selepas mendapat tahu lelaki misteri yang mengunjungi rumahnya pada pukul 6 pagi Khamis lalu sebenarnya seorang yang tidak waras.
K. Tiyagarajan, 64, atau mesra dipanggil Peter berkata, meskipun pelbagai persoalan mengenai lelaki misteri itu bermain di fikirannya, namun dia akur dengan hasil siasatan polis dan tidak akan mengambil sebarang tindakan lain terhadap lelaki warga emas tersebut.
Katanya, bagaimanapun dia masih keliru dan belum melupakan kejadian tersebut serta tidak menyangka bahawa lelaki misteri tersebut seorang yang tidak waras.
“Saya hairan kerana jika benar dia (lelaki misteri) tidak waras bagaimana dia boleh keluar dan memandu kereta seorang diri, malah dia juga boleh mendiamkan anjing peliharaan saya.
“Kami sekeluarga belum dapat melupakan kejadian itu apatah lagi apabila kami melihat aksi lelaki misteri itu melompat pagar dengan mudah dan pantas seperti seekor kera walaupun dia berkain pelikat ketika itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, ini kali pertama mereka sekeluarga berdepan dengan kejadian misteri namun lega kerana tiada perkara yang buruk berlaku.
“Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana ini kali pertama kejadian ini berlaku, namun kami masih perlu berwaspada sekiranya dia datang lagi selepas ini.
“Jika dia datang lagi selepas ini, saya terpaksa ambil tindakan lain terhadapnya kerana kehadirannya itu menakutkan kami sekeluarga,” jelasnya.