PENEMBAK berpengalaman kebangsaan, Nur Suryani Mohd. Taibi akan turun menggalas misi negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara 50 meter (m) rifle tiga posisi dijadualkan hari ini.
Meskipun layak menerusi tiket wildcard, namun atlet berusia 39 tahun itu tekad untuk menampilkan aksi terbaik apabila melangkah masuk ke Lapang Sasar Asaka nanti.
Bagaimanapun, dia berharap dapat mengelakkan sebarang tekanan pada saingan itu nanti kerana percaya ia mampu menjejaskan fokusnya ketika melakukan bidikan ke arah sasaran.
Biarpun beraksi dalam acara kegemaran, namun Nur Suryani enggan berasa selesa, selain menganggap saingan kali ini berbeza jika dibandingkan penampilan pada Sukan Olimpik London 2012.
“Mengenai acara kegemaran atau tidak, ia bukan isu kerana apa yang penting adalah untuk berikan sepenuh fokus serta cuba tampilkan aksi terbaik.
“Saya akui, persediaan lebih baik pada Olimpik kali ini. Fokus sekarang adalah untuk elakkan kesilapan, selain cari jalan bagaimana untuk bangkit jika ada kekurangan semasa pertandingan nanti,” ujarnya.