TOKYO – Atlet Great Britain, Bethany Shriever melakukan kejutan apabila menjelmakan pingat emas dalam acara perlumbaan BMX di temasya Sukan Olimpik Tokyo semalam.
Atlet berusia 22 tahun itu terkejut dengan kejayaan itu selepas menamatkan saingan menerusi catatan 44.358 saat (s) untuk meraih pingat emas.
Pada saingan tersebut, atlet Colombia, Mariana Pajon memberi tentangan cukup hebat, namun terpaksa berpuas hati meraih perak, sementara pelumba dari Belanda, Merel Smulders meraih pingat gangsa dengan catatan 44.721s.
“Saya sangat terkejut dengan kejayaan ini, malah untuk berada di sini juga satu pencapaian membanggakan. Mara ke final adalah aksi terbaik dan menjuarai medal pula kejayaan bermakna buat saya.
“Bagi saya kejayaan ini tidak masuk akal kerana pada penghujung perlumbaan saya rasa macam tiada peluang. Kejayaan ini adalah impian bagi setiap atlet dan saya baru sahaja menjuarainya,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Bethany, Kate Shriever mengakui perjalanan karier anaknya dalam sukan BMX bukan mudah selepas hanya menggunakan barang terpakai seperti basikal, topi keselamatan, termasuk pelindung siku dan lutut.
Kate menegaskan kejayaan anaknya itu menjadi contoh terbaik kepada remaja-remaja di untuk mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Beraksi di Olimpik adalah impian Bethany dan dia telah memulakannya sejak usia 9 tahun lagi. Bagi saya ini satu kejayaan manis,” kata Kate. – AGENSI