fbpx

Sarawak darurat hingga 2 Februari 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Proklamasi Darurat yang berakhir pada Ahad, 1 Ogos 2021 akan diteruskan di Sarawak hingga 2 Februari 2022.

Satu proklamasi baharu telah dipersetujui Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pada Khamis lalu dan diterbitkan dalam warta kerajaan malam tadi.

Namun proklamasi tersebut akan terlebih dahulu dibentangkan di Parlimen berdasarkan peruntukan Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut warta tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa puas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

“Bahawasanya menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sarawak telah sepatutnya terbubar pada 7 Jun 2021, tetapi Fasal (3) Perkara 21 tidak mempunyai kesan menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 [P.U. (A) 12/2021] yang menggantung pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 mengikut Proklamasi Darurat [P.U. (A) 7/2021] yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri dikehendaki untuk diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos 2021 mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak,” titah Baginda.

Titah Seri Paduka Baginda, Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut baginda boleh mengeluarkan suatu proklamasi darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan.

“Maka, oleh yang demikian, beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dengan kurnia Allah, Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada beta sebagaimana yang tersebut di atas mengisytiharkan bahawa suatu darurat besar sedang berlaku dan bahawa Proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh Negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022,” titahnya.

Proklamasi itu dikeluarkan di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak sebelum ini telah menyembah takzim kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan menyerahkan kepada baginda untuk berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bagi menentukan bila tarikh pilihan raya negeri Sarawak yang ke-12, selepas tarikhnya matang pada 6 Jun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI