Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan turun pada aksi penentuan pingat gangsa menentang jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Musashino Forest Sports Plaza pada pukul 6.40 petang ini.
Kedua-dua beregu membuat perhitungan kali kedua pada Olimpik kali ini selepas bertembung pada saingan peringkat Kumpulan D yang menyaksikan Ahsan-Setiawan memenangi perlawanan itu.
Justeru, ini adalah peluang terbaik buat Aaron-Wooi Yik untuk menebus kekalahan terdahulu selain cuba menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen negara.
Naib juara kejohanan Seluruh England (All England) 2019 itu gagal untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas dikecewakan beregu China, Li Junhui-Liu Yuchen pada aksi separuh akhir semalam. – K! ONLINE