ATLET tenis Sepanyol yang menduduki ranking No. 11 dunia, Pablo Carreno Busta mencipta kejutan sensasi apabila meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 selepas menewaskan pilihan utama, Novak Djokovic sebentar tadi.
Pada aksi di Pusat Tenis Ariake itu, Busta yang diletakkan sebagai pilihan keenam pada temasya kali ini berjaya memberi tentangan sengit ke atas Djokovic sebelum memenangi aksi dengan keputusan 6-4, 6-7, 6-3.
Kekalahan tersebut sekali gus menambah derita Djokovic yang sebelum ini kecewa apabila hasratnya untuk mencipta rekod Grand Slam Emas tahun ini tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat separuh akhir kepada wakil Jerman, Alexander Zverev semalam.
Busta pula telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri pada kempen kali ini apabila terdahulu menundukkan pemain No. 2 dunia, Daniil Medvedev dari Rusia di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, Djokovic yang mewakili kontinjen Serbia pasti tidak ‘ralat’ apabila gagal pada penentuan pingat gangsa pada edisi kali ini memandangkan pernah meraih pingat tersebut pada temasya 2008 di Beijing.
Djokovic yang sudah meraih 20 kejuaraan Grand Slam akan mengalihkan tumpuan untuk mengharungi satu lagi kejohanan berprestij, Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada penghujung bulan depan. – K! ONLINE