SEPANG – Sebanyak 1,101 permohonan diterima daripada pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) seluruh negara menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sejak permohonan bantuan berkenaan dibuka 19 Julai lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 600 permohonan telahpun diluluskan dan yang lain masih dalam proses kelulusan.
“Permohonan boleh dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah masing-masing atau melalui laman web JKM dengan disertakan dokumen asas.
“Apa yang penting mana-mana taska yang ingin membuat permohonan perlu berdaftar di bawah JKM,” katanya selepas mengadakan pemantauan dan penyampaian Inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Taska Nur Qasih Ixora Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini.
Dalam program tersebut, sebanyak lima pengusaha taska mengikut kepada kategori iaitu Taska Institusi, Taska di Tempat Kerja dan Taska Komuniti telah menerima bantuan PEMULIH.
Institusi itu terdiri daripada Taska Nur Qasih Ixora dengan bantuan sebanyak RM3,000; Taska Daun Biru (RM3,000); Taska Cahaya Permata Dengkil (RM3,000); Taska Di Rumah Kakak Ila (RM800); dan Taska di Rumah Rose Tarmizi (RM800).
Rina berkata, kementerian menggalakkan lebih ramai pengusaha taska supaya memohon bantuan PEMULIH yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu taska beroperasi semula. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929