KOTA BHARU – Kelantan FC menerus episod duka apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Keputusan itu merupakan kekalahan kedua buat skuad kendalian Marco Ragini dalam minggu ini apabila tumbang 1-2 di tangan PDRM FC pada Rabu lalu.
Dalam perlawanan itu, TFC II terlebih dahulu merobek kubu skuad The Red Warriors (TRW) selaku tuan rumah menerusi rembatan deras Jordan Mintah pada minit ke-8 selepas menerima hantaran lambung daripada rakan sepasukan.
Ketika TRW ghairah menyerang, TFC II mendapat satu peluang keemasan untuk menambah jaringan pada minit ke-25 menerusi rembatan Muhammad Alif Zakaria, namun penjaga gawang, Mohamad Faridzuen Kamarudin berjaya menepis keluar bola tersebut.
Menuju minit-minit akhir perlawanan babak pertama, Kelantan FC sekali lagi terlepas peluang memperoleh jaringan penyamaan apabila sepakan percuma Mario Arques terkena benteng pelawat.
Bersambung babak kedua, TRW terlepas peluang mengikat kedudukan pada minit ke-58, namun Nurshamil Abd. Ghani gagal mencuri kesempatan ketika kekalutan di dalam kotak penalti.
Meskipun jarang menyerang, ketajaman barisan serangan TFC II tetap mengancam kubu pertahanan tuan rumah menerusi beberapa gerak menarik, namun gagal disempurnakan dengan baik.
Derita Kelantan FC terus berpanjangan apabila Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali menambah jaringan kedua TFC II pada minit ke-79.
Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan TRW terus kempunan meraih mata penuh dalam dua perlawanan berturut-turut minggu ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929