PORT DICKSON – Golongan pendakwah di negara ini dinasihatkan supaya tidak bertelagah sesama sendiri selain perlu sentiasa bermuhasabah diri dengan hati yang ikhlas dalam menjalankan tugas-tugas dakwah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebagai pendakwah, mereka perlu mempunyai hati yang lapang serta boleh dibawa berunding selain perlu memahami antara satu sama lain.
“Bagi saya, semua hendaklah berdamai, mereka mempunyai ilmu pengetahuan, hati dan jiwa yang ikhlas serta mempertahankan ukhwah.
“Semua pihak perlulah buang yang keruh, ambil yang jernih dan saling bermaafan sentiasa muhasabah diri. Saya juga mendahului untuk meminta maaf berkaitan segala kesilapan termasuk dalam memberi bantuan, menyampaikan dakwah, sudut pandang yang baik kerana agama Islam itu indah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mykasih Care dan Al-Basith di Masjid Dato’ Haji Abdullah Sijang, dekat sini hari ini.
Dalam program berkenaan, Zulkifli menyerahkan sumbangan secara pandu kepada keluarga pekerja pembersihan dan 30 orang pekerja kantin yang terjejas pendapatan di daerah ini.
Sementara itu, Zulkifli memaklumkan, pihaknya akan mengadakan perbincangan berkaitan untuk mewujudkan tanah perkuburan Islam yang khusus untuk pengebumian jenazah Covid-19 di negara ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929