MELAKA – Tiga lelaki ahli Geng Saku Brother yang aktif mencuri pelbagai barang penjagaan kulit dan kebersihan diri menggunakan poket pakaian sejak dua bulan lalu akhirnya dicekup polis.
Ketiga-tiga suspek termasuk seorang warga asing berusia antara 38 hingga 46 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 24 hingga 27 Julai lalu di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengesan sindiket tersebut selepas polis menerima lima laporan berhubung kecurian di beberapa pasar raya sejak Mei lalu.
Katanya, hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah berjaya memberkas tiga suspek dikenali sebagai Geng Saku Brother.
“Polis berjaya memberkas suspek pertama pada 24 Julai di Malim dan susulan penangkapan itu, ketua kumpulan dikenali sebagai Brother berusia 46 tahun ditahan di sebuah chalet di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah pada keesokkannya.
“Pelbagai barang dicuri yang dianggarkan bernilai RM10,000 ditemui di sebuah rumah yang disewa suspek sebagai stor penyimpanan di Taman Ayer Molek Perdana,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, dua lagi suspek diberkas merupakan ahli sindiket yang bertindak sebagai individu melakukan kerja-kerja mencuri di pasar raya.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929