KLANG – Cubaan membawa masuk dua kontena berisi buangan terjadual SW 110 dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal selepas dikesan pihak berkuasa di Pelabuhan Barat di sini semalam.
Penahanan kedua-dua kontena itu dilakukan pukul 11 pagi susulan maklumat yang dikemukakan Jabatan Kastam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar ( JAS ) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, hasil pemeriksaan dijalankan terhadap tiga buah kontena mendapati dua daripadanya mengandungi SW110.
Katanya, antara barangan tersebut adalah komputer, hard disk, kabel wayar yang diimport dari UAE dengan berat keseluruhan 60 metrik tan.
“Pengimport didapati tidak mempunyai kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk mengimport buangan tersebut.
“Manakala pemeriksaan ke atas sebuah lagi kontena mendapati barang dagangan yang diimport tidak tertakluk sebagai buangan terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kontena itu diimport sebuah syarikat jenis perdagangan yang lazimnya akan diproses untuk mendapatkan logam-logam berharga seperti emas dan timah sedangkan aktiviti ini perlu mendapat kelulusan JAS.
Nor Aziah menambah, bagaimanapun destinasi akhir bagi buangan terjadual masih dalam siasatan pihaknya.
“Satu notis arahan pemulangan akan dikeluarkan kepada pengimport untuk memulangkan semula dua buah kontena tersebut ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, JAS Selangor telah mengeluarkan notis arahan pemulangan 90 buah kontena mengandungi sisa buangan terjadual seberat 1,750 metrik tan dengan nilai anggaran RM6.31juta ke negera asal dari Januari hingga Julai ini.
“JAS Selangor terus komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929