SUNGAI PETANI – Seorang penduduk di Taman Cengal Jaya di sini, masih tidak dapat melupakan kejadian misteri dikunjungi seorang lelaki warga emas berkain pelekat dan bertongkat pada pukul 6 pagi kelmarin.
K. Tiyagarajan, 64, atau mesra dipanggil Peter berkata, lebih mengejutkan, lelaki itu yang masuk ke kawasan rumahnya dengan memanjat pagar mampu mendiamkan dua ekor anjing peliharaannya jenis Rottweiler.
Menurut peniaga alat ganti kenderaan itu, selepas berjaya masuk, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an tersebut dilihat berlegar-legar di kawasan rumah.
“Sebelum itu, saya dengar bunyi salakan anjing, saya sangka musang masuk sebab rumah saya terletak bersebelahan kebun kelapa sawit.
“Biasanya anjing ini menyalak lama, tetapi keadaan itu tidak berlaku semalam (kelmarin) lalu saya intai melalui tingkap bilik di tingkat bawah yang terletak bersebelahan kandang haiwan tersebut,” katanya di sini semalam.
Peter terkejut apabila lelaki misteri itu turut mengintai lalu menjerit memanggil dua anak lelakinya yang tidur di tingkat atas.
Jelasnya, dia nampak dengan jelas wajah warga emas itu yang didakwa berlainan daripada orang biasa, manakala anjingnya pula hanya diam memerhatikan mereka tanpa menyalak.
“Saya bertanya kepada lelaki itu mengenai tujuannya dan minta dia beredar segera sebelum saya menghubungi polis.
“Dia beritahu mencari kakak kandungnya yang tinggal di sini dan mempunyai ilmu untuk mendiamkan anjing,” katanya.
Mendengar pengakuan itu, Peter dan isterinya, M. Mageswari, 74, semakin takut dan meminta anak mereka merakam gelagat lelaki tersebut.
Ceritanya, warga emas itu bukan penjenayah kerana barangannya tidak dilarikan.
“Dia sempat bertanya adakah urusan (merakam gambar) sudah selesai. Kemudian dia panjat pagar dan pergi ke kereta jenis Proton Iswara berwarna merah sebelum beredar,” katanya. Peter membuat laporan di Balai polis Sungai Petani.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Serbuan dilakukan di rumah lelaki itu di sebuah taman perumahan 4 kilometer dari lokasi kejadian semalam.
“Semakan mendapati dia yang tinggal bersama isteri dikatakan tidak waras dan tiada tindakan diambil terhadapnya,” katanya.- K! ONLINE