JAGUH pecut Jamaica, Yohann Blake berpeluang meneruskan legasi Usain Bolt di pentas Sukan Olimpik dengan memenangi pingat emas 100 meter (m) pada edisi Tokyo 2020.
Ia selepas Blake menepati ramalan mara ke separuh akhir esok selepas meraih tempat kedua saringan tujuh dengan catatan masa 10.06 saat (s) di Stadium Olimpik hari ini.
Pelari berusia 31 tahun itu juga seolah-olah masih menyimpan tenaganya apabila memperlahan larian ketika menuju garisan penamat membenarkan atlet Australia, Rohan Brownin memenangi saringan tujuh dengan catatan 10.01s.
Blake akan berhadapan dengan jaguh-jaguh seperti Andre de Grasse dari Kanada, Jimmy Vicaut (Perancis) dan Fred Kerley (Amerika Syarikat) dalam saingan separuh akhir satu untuk memburu tempat automatik ke final malam esok.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Blake dalam acara 100m di Sukan Olimpik adalah pingat perak sewaktu edisi London 2012
Justeru, persaraan Bolt pada 2017 dilihat membuka peluang buat Blake untuk cuba memenangi pingat emas 100m Olimpik yang selama ini dimenangi legenda pecut dunia itu sejak edisi Beijing 2008. – AGENSI