TIADA misi mustahil buat pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad meskipun dijadual turun menentang bekas juara dunia dari Korea Selatan, Kim Woo-Jin pada pusingan ketiga acara recurve individu Sukan Olimpik Tokyo 2020 esok.
Sudah pasti rakyat Malaysia mengharapkan panahan emas Khairul Anuar terus menjadi di Lapangan Memanah Yumenoshima meskipun keadaan angin di lapangan itu mencabar dan mengganggu fokus.
Khairul Anuar sedar akan cabaran itu sekali gus melipat gandakan usaha dalam memastikan misinya melangkah ke suku akhir ketika dilakarnya pada Olimpik London 2012 dicapai.
“Alhamdulillah saya memenangi kedua-dua perlawanan semalam biarpun menerusi penentuan shoot-off pada pusingan pertama dan kedua. Saya tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan kerana hilang fokus.
“Pada aksi itu, tipulah jika saya katakan tidak berasa tertekan. Namun, jika saya boleh beri tumpuan 100 peratus dalam setiap panahan, saya percaya boleh atasi sebarang tekanan dan keadaan angin pada pusingan ketiga nanti,” katanya.