fbpx

Selidik dulu sebelum derma untuk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAT Islam perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum memberikan sumbangan kepada Palestin. - Gambar hiasan/AFP

TARIKH 24 Julai 2017 merupakan detik yang masih segar dalam i­ngatan penulis apabila buat pertama kali berpeluang menunaikan solat maghrib dan isyak di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin.

Peluang menziarahi kota suci itu direalisasikan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak yang memberi peluang kepada petugas media menyertai Misi Kemanusiaan Dan Pertukaran Budaya 2017 di sana.

Perjalanan memasuki bumi Palestin bermula dari kota Amman, Jordan seterusnya melalui pintu masuk sempadan King Hussein yang memakan masa lebih dua jam.

Meskipun perlu melalui ke­renah birokrasi pihak tentera dan imigresen Israel di pintu masuk, kesemua 25 peserta misi itu berjaya melepasi masuk ke bumi Palestin dengan mudah.

Seminggu sebelum bergerak ke Jordan dan Palestin, beberapa individu datang bertemu dan memberikan sejumlah wang kepada saya secara peribadi de­ngan niat untuk didermakan kepada Masjid Al-Aqsa dan penduduk Islam di kota Baitulmuqaddis.

Meskipun nilainya tidak besar, namun mereka ikhlas me­nyumbang kepada masyarakat dan masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam.

Wang itu kemudian disampaikan secara terus kepada tabung Masjid Al-Aqsa dan beberapa penduduk fakir di kota Baitulmuqaddis ketika tiba di sana.

Melihat wang ama­nah rakan-rakan diserahkan merupakan satu kepuasan buat saya.

Menyentuh mengenai sumbangan derma kepada Palestin, Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani menyarankan umat Islam di negara ini agar menyiasat terlebih dahulu latar belakang individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi orang tengah dalam menyampaikan bantuan.

Katanya, ini kerana, beliau mendapati banyak NGO yang tumbuh bak cendawan selepas hujan terutamanya ketika isu Palestin sedang hangat tidak kira sama ada semasa perang atau kehidupan penduduk umat Islam di tanah suci itu.

“Kita terima laporan ada NGO yang menggunakan akaun peri­badi untuk kutip sumba­ngan. Tindakan ini salah, malah ia mendedahkan kepada penipuan dan kredibiliti sesebuah NGO itu.

“Bagi mendaftar sesebuah NGO, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ada syaratnya dan bukan mudah. Mustahil NGO itu boleh muncul ketika isu Palestin sedang hangat diperkatakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, semakan mendapati ada pertubuhan di Kelantan yang mengutip sumbangan derma yang kononnya untuk di­salurkan ke Palestin tidak berdaftar sebagai NGO.

“Beberapa perkara yang melibatkan isu politik di Palestin juga dimainkan oleh sesetengah NGO untuk mengutip sumbangan.

“Semua orang mahu wang mereka diberikan kepada Palestin. Saya bersyukur melihat ba­nyak NGO membawa dana umat Islam ke Palestin.

“Bagaimanapun, masih ada yang menangguk di air yang keruh,” katanya.

Beliau mengingatkan semua khususnya umat Islam agar berfikiran lebih kritis dan menyelidik terlebih dahulu sebelum memberikan sumbangan.

Jelas Mohd. Fared, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Kelab Putera 1Malaysia merupakan antara NGO yang jelas keabsahannya dalam menyampaikan sumba­ngan kepada penduduk di bumi Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI