TOKYO – Juara dunia lempar cakera dari Sweden, Daniel Stahl tidak memerlukan masa terlalu lama apabila hanya melakukan satu percubaan untuk layak ke acara final Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Atlet berusia 28 tahun tersebut yang mendominasi saingan acara tersebut sejak 2016 tiba di Tokyo dengan rekod terbaik 71.40 meter (m).
Jika dia mampu mengulangi catatan terbaik tersebut di Stadium Olimpik Tokyo ia mampu memecah rekod temasya Sukan Olimpik yang dicatat Virgilijus Alekna ketika di Olimpik Athens (2004).
Pada saingan peringkat saringan semalam, Stahl melakukan lemparan sejauh 66.12m dan catatan tersebut sudah memadai buatnya untuk melepasi peringkat kelayakan.
“Saya hanya melakukan lemparan yang santai dan tujuan saya adalah untuk terus mara ke final. Strategi saya berjaya dan saya sangat gembira.
“Kini saya boleh melakukan tumpuan dan bersiap sedia untuk ke final. Pasti ia bukan satu tugas yang mudah dan saya harap mampu melakukannya dengan baik,” katanya.
Juara dunia 2017, Andrius Gudzius berada di kedudukan kedua dengan lemparan sejauh 65.94m dan atlet Slovenia, Kristjan Ceh berada di kedudukan ketiga terbaik (65.45m). – K! ONLINE