fbpx

Sarah Gilbert hasilkan AstraZeneca bermula dengan ‘penyakit X’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GILBERT merupakan wanita hebat dari Universiti Oxford, United Kingdom yang menemukan vaksin AstraZeneca, salah satu vaksin yang kini dimanfaatkan di seluruh dunia bagi menangani pandemik Covid-19.

DALAM keadaan dunia terumbang-ambing dibadai pandemik Covid-19, kehadiran vaksin amat melegakan dan setakat ini, ia satu-satunya harapan untuk hidup manusia kembali normal seperti dahulu.

Kewujudan vaksin-vaksin tersebut juga mengangkat nama-nama saintis pencipta vaksin yang selama ini bekerja di sebalik tabir dan tidak dikenali ramai.

Salah seorang pakar pencipta vaksin ialah Profesor Sarah Gilbert, 59, yang memimpin pasukan pembangunan vaksin AstraZeneca di Institut Jenner, Universiti Oxford, United Kingdom (UK).

Di sebalik ketakutan terhadap vaksin tersebut pada awalnya, nama AstraZeneca tiba-tiba menjadi hangat baru-baru ini apabila dilaporkan mampu memberikan perlindungan kuat yang boleh bertahan seumur hidup berasaskan satu kajian terkini. Ia sekali gus membuatkan Gilbert meraih perhatian global.

Gilbert bukan calang-calang orangnya kerana sebelum ini beliau berpengalaman mengetuai penyelidikan penghasilan vaksin untuk ebola yang melanda Afrika pada tahun 2014.

Selain itu, ketika virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) merebak di Asia Barat, Gilbert telah pergi ke Arab Saudi untuk membangunkan vaksin tersebut.

KEBERKESANAN AstraZeneca cukup tinggi iaitu sehingga 92 peratus termasuk dikatakan dapat mencegah varian Delta.

Pendekatan sama juga telah dilakukannya pada awal tahun 2020 ketika Covid-19 mula muncul di China, Gilbert menyedari bahawa beliau mungkin dapat menggunakan pendekatan serupa.

“Kami bertindak sangat cepat sejurus saintis China memaklumkan mengenai struktur genetik virus baharu itu.

“Vaksin ini telah dirancang dengan baik dan kami dapat melakukannya dengan sangat pantas,” katanya yang merupakan Profesor Vaksinasi Universiti Oxford.

Pada ketika itu, Gilbert terpaksa bekerja seawal pukul 4 pagi hingga lewat malam dalam suasana dunia yang huru-hara dengan wabak baharu.

Gilbert dan pasukannya mengambil masa beberapa minggu di makmal untuk menghasilkan vaksin yang boleh melawan Covid-19.

Kumpulan pertama vaksin tersebut berjaya dihasilkan pada April tahun lalu sebelum rejim ujian itu terus dikembangkan.

“Sejak awal lagi, kami melihatnya sebagai perlumbaan melawan virus dan bukannya perlawanan pembangunan vaksin oleh pihak lain.

“Kami adalah sebuah universiti dan tidak berniat untuk mengaut sebarang keuntungan,” ujarnya yang menerima Pingat Albert atas kerja kerasnya memperluaskan vaksin AstraZeneca.

Walaupun Gilbert mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda menerusi penciptaan vaksin itu yang sangat bernilai pada masa kini, namun beliau menolak mematenkan vaksin itu apatah lagi mendapatkan royalti atas kerja kerasnya selama ini.

“Saya tidak mahu mengambil hak paten penuh kerana ingin membahagikan keuntungan intelektual dengan pihak yang boleh membuat vaksin mereka sendiri,” tuturnya yang juga merupakan Pengasas Bersama Vaccitech. Vaccitech merupakan sebuah perusahaan bioteknologi yang mengembangkan vaksin dan imunoterapi untuk pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser, hepatitis B, HPV serta kanser prostat.

SEBELUM menghasilkan vaksin untuk Covid-19, Gilbert telah terlibat dalam penghasilan vaksin ebola dan MERS.

Ekoran keputusan Gilbert, Oxford tidak mengambil keuntungan daripada vaksin tersebut. Lantas menjadikan harga AstraZeneca jauh lebih murah berbanding vaksin-vaksin yang lain.

Berdasarkan laporan BBC, kos penghasilan satu dos vaksin itu hanya AS$4 (RM16) berbanding dengan Moderna atau Pfizer yang menelan kos puluhan dolar Amerika Syarikat.

Pun begitu, keberkesanan AstraZeneca cukup tinggi iaitu sehingga 92 peratus termasuk dapat mencegah varian Delta yang dianggap paling berbahaya.

Menyorot keperibadiannya, Gilbert dilahirkan di Kettering, Northamptonshire, UK. Bapanya merupakan seorang peniaga kasut dan ibunya guru bahasa Inggeris.

Sejak usia remaja, Gilbert sangat meminati bidang sains dan dia melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Biologi di University of East Anglia.

Kemudian, beliau melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di University of Hull dengan memfokuskan kepada kajian genetik dan biokimia Rhodosporidium toruloides.

Pada pertengahan tahun 1990, dia yang bertugas di Universiti Oxford telah membuat kajian mengenai malaria sekali gus mendorong kepada usaha mencari vaksin bagi penyakit itu.

Di universiti itu, beliau kemudian menubuhkan kumpulan penyelidikan sendiri untuk membuat vaksin selesema yang mana ia berkesan untuk semua jenis strains.

Walaupun wanita ini menjalani kehidupan yang sangat sibuk, tetapi Gilbert seorang ibu berdedikasi dalam tugas dan membesarkan anak kembar tiganya dengan penuh kasih sayang.

Salah seorang anaknya, Freddie menggambarkan Gilbert seorang ibu yang membesar anak-anaknya dengan penuh perhatian dan kasih sayang walaupun sibuk dengan tugasan harian.

Ketiga-tiga anaknya itu mengikut jejak langkah Gilbert dalam bidang sains apabila semuanya graduan biokimia.

FOTO rakaman panggilan video ketika Putera William (kanan bawah) mengucapkan tahniah kepada Gilbert (kiri atas) dan Universiti Oxford atas kejayaan penghasilan vaksin tahun lalu.-AFP

Kenalan-kenalan sekolah dan rakan-rakan universiti menggambarkan dirinya seorang yang sangat teliti, pendiam, tekad berusaha dan mempunyai ‘keperibadian yang benar’.

Rakan sekerjanya, Dr. Anne Moore, menyifatkan Gilbert seorang yang tidak sukakan perhatian apatah lagi populariti. Namun, dunia sekarang memberi tumpuan kepadanya yang merupakan figura penting dalam penciptaan vaksin Covid-19.

Sementara itu, seorang pelajarnya memberitahu, pada mulanya dia beranggapan Gilbert seorang yang sangat pendiam.

“Tetapi apabila anda menghabiskan masa dengannya, beliau seorang yang peramah dan baik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penghasilan vaksin AstraZeneca, Gilbert memberitahu, teknologi vaksin tersebut sebenarnya telah dibangunkan sebelum wabak Covid-19 itu muncul.

Wanita itu berkata, beliau sentiasa bersedia dengan kemunculan penyakit baharu dan menamakannya dengan penyakit X.

Bersama pasukannya di Universiti Oxford, Gilbert telah bersiap sedia membangunkan teknologi vaksin yang sesuai untuk melawan penyakit X jika ia muncul.

“Kami telah bekerja selama beberapa tempoh waktu bagi menyediakan vaksin sebagai langkah awal sekiranya terdapat virus baharu yang muncul supaya dapat memberikan vaksin dengan segera.

“Kami telah melakukan persiapan bertahun-tahun dan banyak ujian klinikal sebelum tahun 2020 dengan menggunakan teknologi vaksin yang dibangunkan sebelum ini lantas bersedia membuat vaksin baharu bagi menentang koronavirus,” ulasnya.

Bagi penghasilan vaksin AstraZeneca itu, Gilbert menggunakan virus yang biasanya berada di dalam badan cimpanzi.

Apa yang kami lakukan adalah dengan mengambil satu virus dipanggil abna iaitu sejenis virus yang menyebabkan jangkitan seperti selesema ringan.

Virus yang kebiasaannya menjangkiti cimpanzi itu tidak pernah ada di dalam badan manusia yang mana manusia tidak mempunyai antibodi untuk melawan virus abna.

Pasukan penyeldik itu mengubahnya dan membuatkan ia selamat untuk digunakan pada manusia dengan menambah gen protein daripada apa jua virus yang bertujuan memberi tindak balas imunisasi.

Sehubungan itu, untuk vaksin koronavirus, mereka menambah gen untuk melonjakkan protein bagi koronavirus dan menambahkan gen ke dalam virus abna.

Apabila badan disuntik vaksin itu, tubuh akan belajar untuk mengenali protein koronavirus dan belajar bagaimana untuk memberi tindak balas, justeru mereka sudah mempunyai imunisasi untuk melawan virus Covid-19 dengan cepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI