fbpx

Salamun Alaik, bicara semasa sunnah Rasulullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAWI bersama Anas Tahir mengendalikan program bual bicara Salamun Alaik siaran Astro Oasis.

KEBEBASAN idea dan kepelbagaian pendekatan dalam kehidupan hari ini adakalanya boleh mengelirukan sesetengah daripada kita tentang cara terbaik yang harus dijalani. 

Kesedaran sebegitu antara yang mendorong syarikat produksi MW Entertainment dan Astro Oasis menghasilkan program bual bicara menarik bertajuk Salamun Alaik.

Penerbitnya, Mawi daripada MW Entertainment berkata, Salamun Alaik merupakan  sebuah program bual bicara Islamik yang mengupas sunnah Rasulullah SAW dengan berkisarkan kisah kehidupan dan pengalaman artis jemputan.

“Program ini menampilkan Mawi dan Anas Tahir sebagai pengacara ditayangkan setiap Ahad, jam 6 petang bermula 6 Jun lalu menerusi saluran Astro Oasis.

“Mereka menjemput seorang ustaz dan artis undangan untuk sama-sama berbicara secara santai mengenai tajuk dalam setiap episod.

“Antara tajuk yang menjadi perbincangan antaranya Senyum Satu Sedekah, Hebatnya Sunnah, Memuliakan Tetamu, Kesempurnaan Solat dan pelbagai lagi,” katanya.

ANTARA kelainan yang ditonjolkan, Salamun Alaik mengupas sunnah dan cara hidup Rasulullah daripada sudut pandangan artis-artis popular sebagai tetamu jemputan ke studio.

Antara ahli agama yang sudah diundang untuk memberi pencerahan dalam program ini adalah Ustaz Nabil Ahmad, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Akhil Hayy, Ustaz Zarifi Daud dan ramai lagi.

“Program berdurasi selama satu jam ini dibahagikan kepada lima segmen iaitu Pengenalan, Layan Tak Layan, Kupas Tak Kupas, Tanya Tak Tanya dan Cari Tak Cari.

“Salamun Alaik ini turut mengangkat martabat dan secara tidak langsung mengajak penonton untuk lebih mengenali tulisan jawi melalui segmen Cari Tak Cari, yang mana artis undangan diminta bermain permainan perkataan tersembunyi dalam tulisan jawi.

“Salamun Alaik juga bertujuan untuk mengajak penonton sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW dengan kehadiran kumpulan pemuzik undangan Soutul Falah yang akan mengiringi program dengan selawat ke atas Nabi,” katanya.

Turut ditampilkan ialah Ramli dan Mohar daripada kumpulan Mohram serta Tom, pemain dram legenda sebagai pemuzik undangan mengiringi persembahan.

“Kami juga tampilkan watak ‘Cif Khadam’ dibawakan oleh Along Cham, Zalif Sidek dan Yasin Yahaya yang akan mencuit hati penonton di sebalik maksud yang tersirat dan tersurat dengan karakter mereka.

“Keistimewaan lain turut ditampilkan apabila program ini mengundang penulis khat bagi berkongsi cara penulisan khat dengan penonton.

“Antara penulis khat diundang dalam program Salamun Alaik ialah Pak Dinie Jurie, seorang khatat (penulis khat antarabangsa), Cheb Ali, Ustaz Ilham Che Daud, Ustaz Rusydi Ramli, Ustaz Nik dan Ustaz Suffian Kamaruddin,” katanya.

SALAMUN ALAIK turut mengundang penulis khat bagi berkongsi cara penulisan khat dengan penonton.

Salamun Alaik merupakan sebuah program TV yang dipilih oleh Astro Oasis dan Pelan Langkah Segera Ekonomi Kreatif (PELAKSANA) bawah Dana Kandungan Digital (DKD) kendalian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Kami amat berterima kasih kepada Finas atas langkah yang dilakukan untuk membantu mereka yang bekerja dalam industri kreatif yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19 ini untuk terus berkarya.

“Program Salamun Alaik ini disokong sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Finas dengan kerjasama Persatuan Irama dan Radio Zayan selaku penyiar radio rasmi,” kata Mawi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI