IPOH – Satu inisiatif khas disediakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) iaitu menyediakan rumah transit bagi membantu golongan miskin terkejut di bandar ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Miskin terkejut merujuk pada kelompok yang hilang pendapatan dalam sekelip mata dan tiada sumber lain sehingga kehilangan tempat berteduh.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya sangat mengambil berat perkara tersebut dan inisiatif yang diperkenalkan ini sebagai langkah awal membantu kelompok itu.
Menurut beliau, kelompok ini termasuklah ibu tunggal yang anaknya juga kehilangan pekerjaan dalam tempoh enam bulan hingga setahun lalu.
“Buat permulaan, MBI akan menyediakan lima rumah transit dengan kemudahan satu bilik tidur dan satu bilik air khas untuk golongan berkenaan di Blok G, Waller Court, Ipoh.
“Setiap unit rumah tersebut akan dilengkapi perabot dan dapur, barangan makanan dan seterusnya disediakan modal perniagaan atau pekerjaan untuk mereka meneruskan hidup dan mampu menyewa rumah lain,” katanya semasa Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Julai yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini.
Mereka yang terpilih akan menginap secara sementara dan tidak melibatkan golongan gelandangan.
Jelas Rumaizi lagi, MBI berhasrat untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti untuk menguruskan unit-unit kediaman tersebut serta mengenal pasti golongan yang terkesan.
“Keutamaan adalah kepada mereka yang kehilangan punca rezeki akibat hilang pekerjaan, penutupan peniagaan dan ibu tunggal,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929