fbpx

Rugi RM138,990 ditipu tawaran kerja sambilan di Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PORT DICKSON – Seorang graduan universiti yang menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik arwah ayah tirinya kerugian RM138,990 setelah ditipu dengan tawaran kerja sambilan di media sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa seorang perempuan berusia 24 tahun telah melihat iklan pekerjaan di laman Facebook dan kemudiannya berurusan dengan penama Nelson Pang menyedari ditipu dan telah membuat laporan polis Selasa lalu.

“Mangsa telah diminta untuk memuat turun aplikasi ‘PbCompany’ dan telah diberikan ‘id’ (kata laluan) dan ‘username’ (nama pengguna).

“Mangsa perlu memasukkan wang ke dalam akaun bank dan mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga mencukupi nilai barang-barang daripada laman Shopee, Lazada atau Zalora yang telah dipesan oleh syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 2.5 peratus dengan syarat perlu membuat bayaran bagi pesanan yang dibuat syarikat dan dimasukkan ke akaun bank tersebut barulah komisen serta duit bayaran itu akan dibayar semula.

“Mangsa telah membuat bayaran untuk tujuan tersebut (bayaran pesanan) sebanyak 15 kali transaksi bermula 22 hingga 25 Julai 2021 ke dalam enam buah akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM138,990 menggunakan wang KWSP arwah bapa tirinya.

“Selepas kesemua pembayaran ini, mangsa bagaimanapun masih gagal mendapat wang komisen yang dijanjikan dan masih diminta untuk masukkan wang,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu Tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

“Pihak polis menegaskan supaya data peribadi atau identiti diri tidak didedahkan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta membuat semakan latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI