TOKYO – Jaguh berbasikal Slovenia, Primoz Roglic mengubat kekecewaan semasa menyertai Tour de France (TdF) 2021 apabila merangkul pingat emas menerusi acara ujian masa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 kelmarin.
Pada saingan TdF yang berlangsung bulan lalu, Roglic terpaksa menarik diri ketika saingan memasuki peringkat kesembilan akibat kecederaan yang dialami selepas terlibat dalam kemalangan di peringkat ketiga.
Justeru, dia yang juga bekas juara Giro d’Italia mengakui gembira dengan kemenangan itu kerana sudah bekerja keras bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Olimpik.
“Satu perasaan yang sangat hebat. Pingat ini sangat
cantik dan agak berat, saya gembira kerana kerja keras selama ini berjaya membuahkan hasil. Saya akui saingan sangat sukar di sini.
“Meskipun berdepan banyak dugaan sebelum ini, namun saya tetap tenang dan cuba tampilkan aksi terbaik. Saya adalah Primoz (Roglic) dan tidak ada yang mustahil,” katanya.
Tambah pelumba berusia 32 tahun itu, sebaik acara bermula, dia hanya fokus untuk menamatkan saingan tersebut kerana tidak meletakkan sebarang sasaran pada saingan kali ini.
“Secara jujur, saya hanya cuba berikan yang terbaik kerana tidak letak sasaran pingat emas. Bagaimanapun, saya kerah segala keringat sejak awal hingga ke garisan penamat,” ujarnya. – AGENSI