MILAN – Kapten Denmark, Christian Eriksen dilaporkan akan kembali ke Inter Milan minggu depan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selepas hampir dua bulan sejak dia diserang masalah jantung pada aksi Euro 2020 lalu.
Pemain berusia 29 tahun itu menjalani pemulihan di Copenhagen selepas dibenar meninggalkan hospital bulan lalu.
Menurut laporan, Eriksen akan kembali ke Inter dan menjalani ujian terperinci mengenai masalah ritma jantung yang tidak normal dialaminya bagi mengetahui punca sebenar sehingga menyebabkan dia rebah di padang ketika saingan Euro tersebut.
Ujian tersebut nanti juga akan memutuskan mengenai langkah yang bakal diambil untuk proses pemulihan serta peluangnya untuk kembali bermain bola sepak.
Ekoran masalah degupan yang tidak normal itu menyebabkan Eriksen terpaksa menggunakan implantable cardioverter defibrillator (ICD) pada jantungnya untuk memberikan kestabilan.
Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) sebelum ini mendedahkan bahawa Eriksen tidak akan dibenarkan beraksi dalam semua saingan bola sepak di negara itu termasuk Serie A sekiranya terpaksa menggunakan ICD.
Dia juga perlu mendapat pengesahan daripada pakar bahawa bebas daripada semua masalah jantung kerana mengikut peraturan di negara berkenaan, semua ahli sukan termasuk pemain bola sepak tidak dibenarkan beraksi sekiranya berdepan masalah tersebut.
Eriksen telah membuat 60 penampilan bersama Inter sejak meninggalkan Tottenham Hotspur 18 bulan lalu selain membantu kelab Itali itu menjuarai gelaran Serie A selepas kemarau selama 11 tahun.
Bersama Spurs selama enam setengah tahun menyaksikan Eriksen sudah membuat 300 penampilan untuk kelab dari utara London itu. – AGENSI