fbpx

Hepatitis perlu dicegah sebelum parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HEPATITIS boleh dicegah menerusi program vaksinasi.

HEPATITIS merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus. Dunia merekodkan satu kematian dalam setiap 30 saat bagi penyakit ini.

Krisis pandemik Covid-19 yang berlarutan hampir dua tahun di seluruh dunia menyebabkan ramai yang lupa tentang bahaya hepatitis dalam kehidupan seharian mereka.

Sempena Hari Hepatitis Sedunia pada Rabu lalu, orang ramai perlu diberi kesedaran mengenai penyakit yang berpunca daripada hati ini supaya mereka mengambil langkah pencegahan menerusi vaksinasi, selain menjalani rawatan pada kadar segera.

Menurut Pakar Bedah Am, Hepatobiliari-Pankreas dan Trauma, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Affirul Chairil Ariffin, terdapat lima jenis penyakit hepatitis yang dikategorikan sebagai A, B, C, D dan E yang mana kesemuanya berpunca daripada faktor berbeza.

Katanya, virus hepatitis A dan E adalah jangkitan akut yang biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air tercemar.

Manakala Virus hepatitis jenis B, C dan D pula ujarnya, berjangkit melalui darah atau cecair badan yang boleh menjadi penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (perut) hati dan kanser hati.

“Di negara ini, lebih 50 peratus golongan muda hari ini tidak mempunyai antibodi terhadap hepatitis. Secara tidak langsung meningkatkan risiko jangkitan terhadap penyakit tersebut.

“Ini membuktikan kesedaran terhadap penyakit ini masih rendah. Tambahan pula dengan penularan Covid-19, ia menenggelamkan lagi isu hepatitis yang telah ada sejak dahulu lagi,” katanya.

DR. AFFIRUL CHAIRIL

Jelas Dr. Affirul Chairil, risiko jangkitan adalah berbeza mengikut kelompok hepatitis itu sendiri.

 

Menerusi penyelidikan dan datadata yang ada, terangnya, individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti hepatitis A dan adalah dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan berkepadatan seperti asrama dan mempunyai akses terhad pada air serta persekitaran tidak bersih.

Bagi hepatitis B dan C pula, individu mengamalkan gaya hidup bebas seperti tabiat seks bebas dan penggunaan dadah adalah lebih berisiko.

Katanya lagi, hepatitis A merupakan antara jangkitan yang kerap dilaporkan di Semenanjung sebelum tahun 2000 dan berkurang selepas kenaikan taraf hidup yang lebih baik.

“Hepatitis A and E menjangkiti individu yang terdedah kepada kontaminasi dari najis ke mulut. Justeru, ia lebih melibatkan tempat yang kurang bersih, berkepadatan tinggi, kurang atau tiada akses air bersih dan saliran yang baik.

“Di Malaysia, hepatitis B dan C merupakan penyebab utama jangkitanpenyakit ini yang mana ia mewakili 75 peratus dalam populasi masyarakat.

“Biasanya hepatitis jenis ini menjangkiti individu melalui cecair badan termasuk hubungan seksual, penggunaan jarum seperti penyalahgunaan dadah, tattoo atau terdedah kepada cecair pesakit dijangkiti.

“Pun begitu, jangkitan daripada ibu kepada anak juga (prenatal) boleh menjadi antara puncanya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, antara gejala utama jangkitan hepatitis A dan E termasuk demam, loya dan muntah, sakit perut dan kekuningan apabila hati telah terjejas. Gejala ini boleh berlarutan sehingga satu atau dua bulan jika tidak dirawat.

Bagi Hepatitis B, C dan D pula, majoriti pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala terutama di awal jangkitan.

Bagaimanapun, bagi individu yang menunjukkan gejala, tanda-tandanya adalah lebih akut dan boleh membawa maut.

GAMBARAN bagaimana hati yang mengalami kerosakan teruk akibat diserang penyakit hepatitis C. – GAMBAR HIASAN

Antara tanda-tanda itu termasuk sakit perut, muntah-muntah, kekuningan pada mata, badan dan air kencing dan keletihan. Jika tidak dirawat, boleh menjurus kepada kegagalan hati akut.

Bagaimanapun katanya, penyakit ini boleh dicegah dengan penambahbaikan sistem sanitasi, keselamatan makanan dan program imunisasi serta vaksinasi kebangsaan.

“Biasanya tiada kesan jangka panjang sekiranya rawatan diberikan bagi hepatitis A dan D yang berjaya sembuh sepenuhnya.

“Namun, jangkitan hepatitis B dan C memerlukan pemerhatian lebih selepas sebarang jangkitan kerana ia boleh menyebabkan penyakit sirosis hati dan kanser hati.

“Kanser hati antara kanser utama di dunia dengan rawatan terhad jika lambat didiagnos. Sirosis hati pula boleh menyebabkan kegagalan hati kronik dan seringkali memerlukan pemindahan organ berkenaan,” jelasnya.

Justeru, Dr. Affirul Chairil menasihati orang ramai supaya mengambil langkahlangkah pencegahan seperti mengambil vaksin, menyediakan persekitaran bersih dan mengamalkan gaya hidup sihat serta mengelakkan gaya hidup berisiko tinggi.

“Sempena Hari Hepatitis Sedunia, saya menyeru agar semua segera mengambil vaksin dan menjalani saringan serta rawatan sekiranya berada dalam golongan berisiko,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI