fbpx

Aku lebih peduli nasib bangsa yang merempat – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERMA FATIMA

PETALING JAYA – Susulan kecaman hebat yang diterima akibat mempertahankan tindakan pendekatan pensohor media sosial memalukan seorang gelandangan warga emas yang tular dalam media sosial sebagai tidal salah, penerbit yang juga pengarah terkenal, Erma Fatimah sekali lagi meluahkan kekesalan terhadap mentaliti segelintir rakyat Malaysia yang sememangnya suka mencari kesalahan orang.

“Inilah mentality orang kita. Hanya tahu nak cari salah orang sahaja. Kau (netizen) maki aku hanya kerana aku kata dia (pesohor media sosial) tak salah. Tapi bahasa kau lagi tidak beradab,” ujarnya

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, berkata, biarpun tersinggung dia sebenarnya tidak mengambil serius kecaman tidak beradab netizen hanya kerana berlainan pendapat namun apa yang lebih dirisaukan adalah nasib bangsa yang hidup merempat.

“Aku tak suka nak jawab segala kutukan dan makian kamu semua. Aku tak kisah dan aku tak peduli pun sebenarnya. Aku lebih peduli pada nasib bangsa aku yang merempat!

“Rumah transit gelandangan ini ada lebih kurang 80 orang penghuni berumur antara 30 hingga 60 tahun. Mereka dibenarkan untuk tinggal di situ selama dua hingga tiga bulan sahaja dan dibantu sepenuhnya oleh kerajaan. Tidak cukup dengan itu, pihak pengurusan juga carikan kerja,” katanya.

Erma terdahulu mengatakan pendekatan yang digunakan usahawan juga pensohor media sosial, Carl Samsudin baru-baru ini satu bentuk motivasi atas dasar mendidik dan memberi kesedaran kepada gelandangan lain.

Menurut Erma, kepeduliannya terhadap isu tersebut didorong maklumat daripada penyelia rumah transit gelandangan bahawa kebanyakkan gelandangan yang menumpang di situ sudah hidup selesa sehingga ada yang enggan keluar untuk berusaha mengubah nasib sendiri.

Mereka seronok hidup ditanggung, bahkan ada dalam kalangan penghuni memberi alasan tidak perlu memikirkan sebarang komitmen apabila dinasihatkan mencari pekerjaan.

“Sampai bila kerajaan nak tanggung hidup mereka. Malah ada yang nak saman pihak pengurusan rumah transit tersebut kalau mereka disuruh keluar selepas tiga bulan. Dalam 10 orang penghuni, mungkin seorang sahaja yang ada impian untuk mengubah nasib.

“Kalau begitu mentaliti mereka, nak cakap lemah lembut lagi ke?” katanya.

Bagaimanapun, Erma bersetuju bahawa nada suara dan intonasi yang digunakan pesohor media sosial itu agak kasar. Namun tujuannya adalah untuk membentuk mentaliti gelandangan supaya mereka sedar untuk mengubah nasib mereka.

“Pada yang maki hamun aku, tak ada masalah, aku dah maafkan,” ujar pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir itu.

Dalam pada itu, Erma turut menekankan soal adab dalam kalangan netizen supaya menjaga tutur kata ketika memberi teguran kepada orang lain.

“Kalau pun cara dia salah, tegurlah dengan bahawa yang beradab. Kita sibuk cakap tentang adab, tapi kita sendiri yang tidak beradab dalam menegur orang lain.

“Malulah dengan bahasa yang kau gunakan. Ada yang melampau bahasanya. Malu, mual jijik dengan bahasa anak bangsa aku sendiri. Moga Allah SWT membuka mata hati kita untuk melihat kebenaran,” jelasnya.

Terdahulu, heboh dalam media sosial sejak beberapa hari lalu tentang tindakan seorang pesohor media sosial apabila dikatakan menghina dan memalukan seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur sehingga mecetuskan kemarahan orang ramai.

Difahamkan individu tersebut hadir bersama beberapa orang pekerjanya ke pusat transit berkenaan bagi memberi bantuan dan dipercayai mengambil kesempatan itu untuk memberi para gelandangan di situ sedikit motivasi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI