fbpx

Akta 342 tidak sama dengan pewartaan Proklamasi Darurat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan warta pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan di bawah Akta 342 tidak sama dengan pewartaan Proklamasi Darurat.

KKM dalam satu kenyataan berkata, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Menurutnya, perintah itu mahupun Proklamasi Darurat telah diwartakan dan menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Oleh itu, semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran tersendiri dan tidak tepat mengenai perintah ini bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, perintah itu dibuat di bawah Subseksyen 11(1) Akta 342 yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Jelas KKM lagi, perintah itu bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 dan telah dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos ini sehingga ke 31 Disember depan.

“Sebelum ini, kuat kuasa perintah ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021. Perintah ini telah menetapkan bahawa semua negeri dan wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Dengan berkuatkuasanya perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” katanya.

Katanya, perintah itu juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan, antaranya, Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Manakala, Proklamasi Darurat pula dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI